Kuala Lumpur: Kementerian Pelajaran semalam menegaskan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini tidak ditangguhkan dan akan berlangsung mengikut jadual sedia ada.
"Berita mengenai penangguhan tidak benar kerana UPSR tetap ikut jadual iaitu 11, 12 dan 13 September” - Abd Ghafar Mahmud, Ketua Pengarah PelajaranBeliau sekali gus menafikan khabar angin yang mencetuskan kekecohan dalam kalangan ramai ibu bapa dan calon bahawa peperiksaan itu ditangguhkan atas sebab tertentu.
Hanya khabar angin
“Berita berkenaan (penangguhan) tidak benar. UPSR tetap seperti jadual, iaitu 11, 12 dan 13 September,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada BH.
Khabar angin mengenai penangguhan peperiksaan UPSR tahun ini dipercayai berpunca daripada pelbagai dakwaan, antara lain untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) dan berlaku kebocoran kertas soalan di negeri tertentu.
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia (GMGBM), Ruslan Madon, berkata kertas soalan untuk peperiksaan UPSR tahun ini sudah disimpan dalam bilik kebal setiap negeri.
Persiapan berjalan lancar
Justeru, katanya, sebarang penangguhan UPSR akan menyebabkan ‘pertembungan’ penggunaan bilik kebal itu untuk menyimpan kertas soalan Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang dijadualkan bermula pada 9 Oktober depan.
Katanya, semua persiapan akhir sedang dibuat, termasuk pihak sekolah merancang mengadakan solat hajat dan bacaan Yasin dalam waktu terdekat.
“Justeru, ibu bapa dan calon dinasihati tidak terpengaruh dengan khabar angin itu, sebaliknya memfokus kepada persediaan mental dan emosi untuk menghadapi peperiksaan UPSR tidak lama lagi,” katanya.
Sumber : www.bharian.my